6 June 2010

Warkah buat insan yang bakal bergelar suamiku...



Ku tulis warkah ini hanyak untukmu, insan yang bakal bergelar suami...

Wahai lelaki, kaulah bakal pemimpinku, kau lah yang akan membentuk diriku, menjadi seketul permata putih atau seketul batu keras yang akan membakar dirimu kembali.

Ketahuilah wahai lelaki, Nabi telah bersabda kepada kita ummatnya untuk mencari pasangan hidup berdasarkan 4 perkara. Kecantikkan wajahnya, Harta yang ada padanya, Nasab keturunannya. Tetapi yang paling utama, carilah yang ada kefahaman agama padanya kerana ia akan menjamin bahagia.

Wahai lelaki, kau insan yang akan bergelar suami...

Andai kau melihat pada kecantikkan yang ada pada diri ini; ketahuilah ia takkan kekal selamanya, kerana wajah indah ini kan tua, saat itu wajah indah diganti dengan wajah tua yang berkedut, apakah ketika itu kau akan melihat lagi pada diriku?

Andai kau melihat pada harta yang ada; ketahuilah ia tidakkan kekal juga, berkurangan selepas kau guna, dan apabila harta itu habis di mamah masa, apakah kau akan melihat pada diriku lagi?

Dan andai kau melihat pada nasab keturunan, ketahuilah iman tidak mungkin diwarisi kerana iman perlu kita cari. Kita kaji dan di didik dalam diri. Ada yang nasabnya tidak seindah yang disangka tetapi dirinya; Subhanallah. Menjadi contoh tauladan pada semua. Andai diriku tidak seindah seperti nasab ku yang indah pada matamu, apakah kau akan melihat pada diriku lagi?

Akhirnya agamalah pilihan utama. Aku pasti tidak berwajah Cik Dunia (Miss World) & aku bukanlah seorang hartawan dengan harta yang berjuta. Aku juga bukanlah anakanda atau cucunda seorang raja yang hebat keturunannya. Tapi sekurang-sekurangnya aku yakin, andai kau melihat pada agama yang ada padaku, akan ku serahkan segala yang ada padaku untuk kau gunakan dalam perjuanganmu. Kerana aku yakin kau takkan mensia-siakan pengorbananku; wahai bakal suamiku.

Tetapi apakah dirimu begitu? Sudah sempurnakah agamamu untuk membimbingku? Sudah kukuhkah pendirianmu untuk berpegang kepada syariat Allah dan ajaran Sunnah RasulNYA? Apakah kau yakin kau kan dapat membina sebuah keluarga yang bahagia bukan sahaja di dunia, bahkan kekal hingga ke syurga menanti?

Kerana bukannya kecantikkan, harta dan keturunan yang aku lihat pada dirimu. Mahupun kesempurnaan ilmu agama yang kukuh, cukup bagiku kau berusaha untuk mendalaminya, membuatkan diri ini terasa sudah bersedia untuk dibimbing oleh dirimu sebagai isteri kepada dirimu; lelaki yang bergelar suami.

“...dan perempuan-perempuan Yang baik untuk lelaki-lelaki Yang baik, dan lelaki-lelaki Yang baik untuk perempuan-perempuan Yang baik...”
(Surah an-Nur : 26)

*****************************************************

p/s Chenta hati, mari kita sama2 raih keberkatan Nya. Bercinta kerana Dia.

credit to Abu Hariz (iluvislam.com)

No comments: